SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

» Nilai murni asas kukuh Negara

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Nilai-nilai murni seperti kebebasan beragama, toleransi, keamanan dan kesaksamaan yang dipegang teguh oleh rakyat Malaysia selama ini akan terus menjadi asas kukuh kepada negara ini, walaupun berlaku perbuatan vandalisme terhadap gereja dan tempat ibadat lain di dalam negara baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kepelbagaian penduduk yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama merupakan kekuatan sebenar negara ini, yang merupakan asas di mana kerajaan akan terus membangunkan 1Malaysia, gagasan yang beliau lahirkan yang bertujuan menjadikan Malaysia negara yang kukuh dan saksama.

“Ia merupakan cabaran besar tetapi secara bersama ia boleh menjadi kejayaan terbesar kami,” katanya ketika menulis dalam sudut pendapat dalam majalah The Wall Street Journal yang diterbitkan hari ini. Najib menegaskan bahawa perbuatan vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat dan membakar gereja Metro Tabernacle Church, baru-baru ini dan dituruti dengan reaksi kuat daripada rakyat Malaysia ‘boleh diubah menjadi detik yang boleh kami pelajari.’

Dalam ruangan itu, Najib turut menjelaskan bahawa bertentangan dengan gambaran yang dibuat oleh sesetengah laporan antarabangsa, semangat luhur sebenar rakyat Malaysia jelas terpancar, sebaik sahaja berlaku perbuatan vandalisme ke atas gereja dan lain-lain tempat ibadat di dalam negara.

“Kumpulan orang Islam telah sukarela untuk melindungi gereja di kawasan mereka. Aktivis sosial Islam telah menulis menolak perbuatan vandalisme yang sia-sia itu. Kumpulan sivik Islam juga berganding bahu dengan orang Kristian, Hindu dan Buddha bagi memastikan semua orang bebas mengerjakan ibadat seperti yang mereka kehendaki,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata, pemimpin masyarakat Kristian dan Islam juga menyeru agar semua pihak bertenang dan diadakan dialog antara agama, kerana mereka sedar bahawa orang yang melakukan perbuatan tersebut sebenarnya tidak mewakili majoriti masyarakat Islam di dalam Malaysia.Beliau berkata, semua rakyat akan bekerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut dan menegaskan bahawa Malaysia sudah tentu bukanlah negara pertama di mana terdapat sebilangan kecil individu melakukan jenayah mereka dengan alasan untuk menyokong agama tertentu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan mendekati rakyat dengan lebih dekat untuk mengadakan dialog terbuka dan berusaha untuk menyelesaikan isu sensitif. Najib berkata, negara mesti mengekalkan masyarakat yang terbuka dan adil di mana peluang untuk semua akan terus subur.

“Perubahan telah dibuat seperti meliberalkan keperluan pemilikan dalam sektor utama ekonomi, menggalakkan pelaburan langsung asing, mewujudkan klinik-klinik 1Malaysia untuk memberi perkhidmatan kesihatan di samping memperluaskan peluang pelajaran kepada semua rakyat,” katanya.

“Kami tidak akan berganjak daripada hasrat untuk mencapai 1Malaysia,” kata Najib di dalam ruangan itu.

Petikan dari Utusan. 27/01/2010.