SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

» MASYARAKAT ISLAM TERUS MEMBANTAH !

KUALA LUMPUR 3 Jan - Sebanyak 13 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap akhbar mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly bagi menghalang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya. Antara NGO itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.Setiausaha Agung PPIM,

Datuk Dr. Ma'amor Osman menyifatkan tindakan akhbar mingguan itu sebagai biadab dan tidak memikirkan sensitiviti pelbagai kaum di negara ini.Menurut beliau, Allah adalah Tuhan bagi umat Islam yang dikenali melalui sifat-sifat tersendiri. Beliau juga bimbang jika ada pihak akan bangkit dengan keputusan mahkamah sivil tersebut yang dianggap menghina Islam apabila diadili oleh seorang hakim bukan Islam. Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya bertindak mengikut perlembagaan negara fasal 11(4) yang secara jelasnya melarang mana-mana pihak selain Islam menggunakan kalimah Allah.

Sementara itu, Presiden IRIMM, Amir Amsaa Pitchay berkata, tindakan akhbar mingguan tersebut seolah-olah memperlekehkan kedaulatan serta mencemari kedudukan Islam.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz pula menegaskan sekiranya tindakan akhbar mingguan tersebut 'dihalalkan' maka kalimah Allah yang merupakan satu perkara agung tidak lagi menjadi hak eksklusif bagi umat Islam.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan 'Allah' dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

 

Diedit oleh admin. Petikan dari Utusan Online. 4hb Januari 2010