|

»
Selamat Hari Raya AidilAdha
SEBAHAGIAN daripada
keutamaan dan kurniaan yang Allah SWT berikan kepada sekelian
hamba-Nya adalah dijadikan musim atau masa-masa tertentu bagi
hamba-hamba-Nya yang soleh untuk meningkatkan kualiti amalan dan
integritinya. Bulan Zulhijjah merupakan bulan ibadah yang penuh
dengan pengertiannya yang tersendiri. Di dalamnya terkandung
perkara kelima dalam rukun Islam iaitu ibadah haji. Jika setiap
jemaah haji atau tetamu Allah menyempurnakan ibadah haji atau
manasik mereka di padang Arafah pada 9 Zulhijjah berlandaskan
sabda Rasulullah yang bermaksud, "Haji itu Arafah", maka umat
Islam lainnya di luar Tanah Suci melengkapi ibadah mereka dengan
melakukan ibadah korban atau udhiyyah bermula 10 Zulhijjah.
Udhiyyah bermaksud
menyembelih haiwan daripada ternakan yang dikategorikan sebagai
al-an'am iaitu unta, lembu, biri-biri dan kambing pada Hari Raya
Haji atau yaum al-Nahr pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari
tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri
kepada Allah SWT.
Korban lambang ketaatan hamba
Ibadah korban merupakan
gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati
yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi
Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur
yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi
Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku
melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah
pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang
diperintahkan kepadamu. In sya Allah, ayah akan mendapati aku
termasuk orang-orang yang sabar. Lantas Kami menyerunya: Wahai
Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau
lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang
berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah
satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor
binatang sembelihan yang besar serta Kami kekalkan baginya (nama
yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.
(al-Soffaat: 101-108)
Ikhlas kerana Allah
Daripada Aisyah r.a.,
Nabi bersabda: "Berkorbanlah kamu dengan hati yang reda,
sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke
arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah
kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat". (riwayat
al-Baihaqi) Dengan menyembelih binatang ternakan sebagai korban,
seorang muslim telah merelakan sebahagian harta yang dimilikinya
sebagai merealisasikan keikhlasan, ketaatan dan rasa kesyukuran
melalui nikmat yang telah diberikan oleh Allah.
Firman Allah yang
bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai
Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat). Oleh
itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan
sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur). (al- Kauthar: 1-2)
Petikan dari Utusan. 26/11/2009. |