|

»
Bai’ah Taat Setia PAS

Terdapat isteri calon wakil rakyat Pas yang menangis dan
menggeletar pada majlis bai'ah apabila mendengar ikatan
perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi kepentingan
politik kepartian yang sempit dan jumud. Gelojak rasa itu turut
dikongsi si suami yang menggigil sewaktu mengangkat bai'ah yang
memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai
talak tiga dengan isteri.
Debaran dan suasana hiba pada majlis bai'ah Pas itu didedahkan
oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin
selepas mendengar pengakuan daripada beberapa wakil rakyat parti
itu. Malah kata Zulkifli, wakil rakyat terbabit juga meminta
bantuannya supaya membawa isu bai'ah itu ke tengah selepas ia
menjadi perdebatan umum apabila disahkan oleh Ahli Parlimen Pas
Shah Alam, Khalid Samad, Khamis lalu.
"Mereka
berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar buat
mereka dari ikatan bai'ah dan sumpah ini," kata Ahli Parlimen
dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam laman blog beliau
http://zul4kulim. blogspot.com/. Katanya, beberapa tokoh parti
yang dihubungi bukan sahaja tidak berasa bersalah dan berdosa
dengan bai'ah itu, malah mempertahankannya dengan alasan-alasan
yang dangkal lagi memualkan tanpa sandaran kepada al-Quran,
sunah Rasulullah mahupun amalan para sahabat.
Sebaliknya jelas beliau, ia sekadar dasar yang berpaksikan
kepada alasan dan sandaran akal dangkal semata-mata. "Inilah apa
yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik,
mempertuhankan demokrasi. "Apakah kita terlalu taksub dengan
politik sehingga sanggup menggadai kesucian, kemuliaan dan
kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik," katanya.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, dasar tersebut umpama kembali
ke zaman jahiliah dengan menjadikan wanita sebagai bahan
dagangan, pajakan dan gadaian. Dengan cara itu katanya, semua
wakil rakyat diyakini akan berfikir banyak kali sebelum
bercadang melompat parti.
"Bagaimana
rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita
memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan
menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian
politik? "Apakah kelak bila menjadi kerajaan Persekutuan dan
memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan
dipaksa bai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak taat kepada
kerajaan," katanya.
Petikan dari Utusan. Diedit oleh admin. 09/11/2009 |