|

»
KELANTAN DAPAT WANG IHSAN

KUALA LUMPUR 4 Nov. –
Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberikan wang ihsan
petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan. Perdana Menteri
berkata, pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang
diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran
petroleum di luar perairan negeri berkenaan. Ini kerana, kata
Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan
seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada
masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua
negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55
kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
Perdana Menteri ketika
mengumumkan perkara itu berkata, wang ihsan itu akan diberi
dalam bentuk projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di
Kelantan. “Keputusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan
Persekutuan memastikan setiap lapisan masyarakat Kelantan
menikmati manfaat pembangunan negara.
“Ia selaras pendekatan
inklusif dan semangat 1Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan
Barisan Nasional (BN). “Ini juga mengambil kira keperluan untuk
terus membangunkan Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan
rakyatnya, selaras arus pembangunan perdana negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata
demikian ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang
Kerian) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. Najib
memberitahu, Petronas memaklumkan pada masa ini hanya terdapat
sebuah medan petroleum yang mengeluarkan hasil di Kelantan, yang
terletak di luar perairan negeri tersebut iaitu medan Bumi
Selatan dalam Blok PM301.
Sehubungan itu, katanya,
pemberian wang ihsan kepada Kelantan akan mengambil kira
pengeluaran dan penjualan dari medan petroleum Bumi Selatan
berkenaan. “Wang ihsan itu akan disalurkan setelah maklumat
terperinci jumlah pengeluaran gas dan tatacara berkaitan
dimuktamadkan. Peruntukan pertama wang ihsan bagi Kelantan
dijangkakan pada 2010,” katanya.
Dalam pada itu, suasana
dalam Dewan Rakyat menjadi panas antara penyokong kerajaan dan
pembangkang yang mempertikaikan penggunaan istilah wang ihsan,
bukannya royalti. Salahuddin dalam soalan tambahannya meminta
penjelasan Najib mengapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya
royalti seperti termaktub dalam Akta 144 Petronas.
“Istilah wang ihsan
timbul selepas Pas memerintah Terengganu sedangkan dalam akta
itu jelas menyebut royalti bukan wang ihsan, kami rakyat
Kelantan memperjuangkan hak kami, tiada bumi Malaysia tanpa
negeri dan pantai Kelantan. “Rakyat Kelantan bukannya peminta
sedekah, mereka hanya mahukan hak mereka yang jelas termaktub
dalam peruntukan undang-undang, minta penjelasan,” katanya.
Najib kemudian menjawab:
“Janganlah cuba mempolitikkan perkara ini, tidak habis-habis
dengan politik.” Ketika inilah wakil pembangkang membuat kecoh
dengan mencelah mempertikaikan jawapan Perdana Menteri itu,
antaranya Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid
Abdul Samad (Pas-Shah Alam).
“Buktikan 1Malaysia,
bayarlah... itu adalah hak Kelantan,” kata Dzulkefly. “Hak ini
mesti diiktiraf, orang Kelantan dah tolak BN. Prinsipnya ialah
keadilan, royalti ini bukan hak Pusat tetapi milik Kelantan,”
celah Khalid. “Saya tetap tidak berpuas hati. Kenapa istilah
wang ihsan digunakan, bukannya royalti?” kata Salahuddin.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri
Gading) yang turut mencelah berkata: “Inilah jenis manusia,
apabila diberi tetapi tidak mahu dan tidak pandai mengucapkan
terima kasih. Perdana Menteri sudah beri penjelasan, apa lagi
nak jelaskan.
“Saya cadangkan
peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan
Persekutuan (JPP) kerana ia adalah hak Kerajaan Persekutuan.” Pada
tahap ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin
Mulia terpaksa masuk campur dan mengingatkan semua wakil rakyat
menjaga perilaku masing-masing dan menghormati Dewan.
“Apabila Perdana Menteri
dan menteri tidak datang, kamu semua suruh hadir tetapi apabila
hadir kamu pula syok sendiri dan bergaduh sama sendiri,” katanya.
Najib yang kemudian bangun menjawab soalan tambahan itu berkata,
setiap projek yang akan disalurkan terlebih dahulu diadakan
perundingan dengan Kerajaan Kelantan.
“Apa yang penting ialah
kepentingan rakyat Kelantan.“Kita juga ada semangat hendak
berunding dengan kerajaan negeri, apa yang hendak dipertikaikan
lagi kerana rakyat Kelantan akan dapat manfaat daripada wang
ihsan ini,” katanya.
Siti Zailah Mohd. Yusoff
(Pas-Rantau Panjang) yang mengemukakan soalan tambahan meminta
jaminan kerajaan supaya memastikan wang ihsan itu disalurkan
kepada kerajaan negeri bukannya JPP. “Baru-baru ini sahaja dapat
disahkan bahawa ada blok yang boleh dipertimbangkan, maka kita
akan pertimbangkan bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat
manfaat.”
Petikan dari Utusan,
sumber gambar dari AgendaDaily. 05/11/2009.
|