|

»
RAJA NAZRIN TURUT SIMPATI
KAMPAR 27 Okt. - Raja
Muda Perak Raja Dr. Nazrin Shah hari ini melawat tempat kejadian
jambatan gantung yang runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang
di sini di mana seorang murid perempuan lemas dan dua lagi murid
perempuan masih hilang.
Baginda tiba pada pukul
5 petang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry
Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Zakaria Yahya.
Baginda turut
mengunjungi bilik operasi di padang sekolah serta bertemu ibu
bapa mangsa kejadian itu.
Hujan pada sebelah
petang tidak menghalang kira-kira 500 anggota dan pegawai
pasukan mencari dan menyelamat dari pelbagai agensi meneruskan
operasi mencari dua lagi mangsa perempuan yang hilang. Mayat
seorang daripada tiga murid yang hilang dalam kejadian pukul
10.30 malam itu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat
pagi ini.
Mangsa merupakan murid
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan, Kampar.
Dua lagi murid yang masih hilang ialah V. Diryasree, 12, dari
SJKT Gopeng dan M. Davadharsini, 11, dari SJKT Mambang Di Awan.
Dalam kejadian pukul
10.30 malam tadi, jambatan gantung tersebut tiba-tiba runtuh
menyebabkan tiga murid yang sedang mengikuti perkhemahan
1Malaysia itu hilang. Bagaimanapun, jumlah mereka yang hilang
dalam kejadian itu disahkan hanya tiga orang, manakala 19 lagi
yang sebelum ini dikatakan turut lemas, terselamat.
Perkhemahan selama empat
hari itu bermula semalam dan disertai seramai 298 murid daripada
60 buah sekolah daerah Kinta Selatan iaitu Kampar, Ipoh dan Batu
Gajah.
Diedit oleh admin. Utusan Online 28/10/2009. |