|

»
Ronggowarsito bergema di Dewan Merdeka...
KUALA LUMPUR 13 Okt. –Dalam ucapan bertajuk Menggalas Tuntutan
Perubahan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini malam ini, Timbalan
Presiden parti mengingatkan tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO
akan diubah.
Muhyiddin menekankan betapa perlunya menerima hakikat bahawa
landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik
masyarakat Melayu sendiri juga telah berubah.
Empat rukun bagi melakukan perubahan dan pembaharuan parti itu
perlu bermula dengan kesatuan minda (wahdatul fikr); dihayati
dengan kesatuan hati (wahdatul qalb); bergerak dengan kesatuan
amal (wahdatul amal); dan menuju kesatuan matlamat (wahdatul
hadaf).
“ Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi
perjuangan yang jelas. Terjalinnya kesatuan hati, setiap
daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan
terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas
satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan
matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi
agama, bangsa dan tanah air.
“ Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat
rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul
Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.”
“Marilah kita menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi
di antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk,
talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang
lidah bercabang, langkah menyilang.
“Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi Team A, Team
B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan
pemimpin dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti
menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu
UMNO,” kata beliau.
“ Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan
UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah
parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan
rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai
kebaikan.
Tradisi perjuangan UMNO membela bangsa, kata Muhyiddin, tidak
pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang
sistem politik demokrasi.
“Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan
sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan
gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima
rakyat,” jelasnya. Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa
bukan UMNO sahaja perlu berubah tetapi parti-parti komponen
Barisan Nasional (BN) yang lain juga perlu berubah.
“Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih
mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara
parti-parti dalam BN. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan
semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap
kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana digariskan
oleh Presiden dalam gagasan 1Malaysia.”
Dalam mendepani cabaran semasa, Muhyiddin menyatakan keadaan
zaman gila (jaman edan) seperti digambarkan oleh pujangga
Ronggowarsito dapat dirasakan apabila rakyat dihidangkan dengan
fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi
kebiasaan.
“Khabar angin, provokasi, cerita palsu, berita sensasi sengaja
direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat
sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara
kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu,
yang palsu menjadi benar. Yang maaruf menjadi mungkar, yang
mungkar menjadi maaruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim
menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak. Dalam
menangani situasi tersebut, Muhyiddin mengajak warga UMNO terus
berjuang dengan berbekalkan semangat dan iltizam membela agama,
bangsa dan negara.
Petikan dari utusan. Diedit oleh admin. 14/10/2009. |