|

»
Menakhoda Zaman….

KUALA LUMPUR 11 Okt. -
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan buku dwibahasa
iaitu Menakhoda Zaman dalam bahasa Melayu dan Helming the Times
dalam bahasa Inggeris yang merupakan himpunan ucapan beliau yang
telah diolah semula semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO dari
2004 hingga 2009.
Perdana Menteri dalam
kata-kata pendahuluan buku itu memberitahu, Menakhoda Zaman
dipilih sebagai tajuk buku bersempena dengan tema ucapan beliau
ketika merasmikan persidangan serentak perwakilan Pergerakan
Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 29 Mac lalu.
Tambahnya, ia menjadi
amanat terakhir beliau selaku Timbalan Presiden UMNO kepada
perwakilan ketiga-tiga sayap itu sebelum mengambil alih tampuk
pimpinan parti.
"Buku ini merupakan
koleksi inti pati daripada siri ucapan perasmian tiga sayap UMNO
dalam kapasiti Timbalan Presiden selama lima tahun,
penerbitannya pula bukan hanya ditujukan kepada ahli-ahli parti.
"Penyuntingan semula
lima ucapan itu dengan menyaring sebahagian besar aspek yang
membabitkan politik dan UMNO, adalah untuk mengajak pembaca
tanpa mengira latar belakang siasah mahupun keturunan untuk
berkongsi kebimbangan, kepercayaan, pandangan juga wawasan saya
demi bangsa dan negara ini, terutama orang Melayu," katanya.
Najib memberitahu,
sebagai pemimpin pertubuhan Melayu terbesar negara, beliau tidak
dapat lari daripada tanggungjawab memastikan orang Melayu tidak
terus ketinggalan berbanding rakan dari kaum lain.
Bagaimanapun, tegasnya,
selaku pemimpin sebuah negara majmuk, beliau tidak akan sekali-kali
membiarkan kaum lain dipinggir atau dianaktirikan dalam usaha
untuk memajukan orang Melayu.
"Konsep 1Malaysia yang
saya perkenalkan sejurus selepas menggalas tanggungjawab menjadi
Perdana Menteri jelas mengenai hakikat ini.
Perdana Menteri berkata,
kesemua 11 bab di dalam buku ini adalah pecahan daripada lima
ucapan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO sepanjang separuh
dekad.
Katanya, lima ucapan itu
masing-masing bertemakan Menakhoda Zaman (tahun 2009),
Mengangkasa Tamadun Bangsa (2007), Memacu Minda Melayu (2006),
Menjana Melayu Glokal (2005) dan Kesinambungan dan Perubahan
(2004).
"Dua bab pertama
daripada sedutan ucapan 2009 membicarakan mengenai politik,
khususnya masa depan UMNO ekoran keputusan pilihan raya umum
2008.
"Bab lain memberi
tumpuan kepada kedudukan, kelemahan dan masa depan orang Melayu
serta bagaimana mereka boleh bangkit menjadi sebuah bangsa yang
disegani dan dihormati," katanya.
Najib memberitahu,
dimensi baru menuntut bangsa Melayu melonjak ke hadapan dengan
memperkukuh daya saing untuk berlumba menjadi antara yang
terbaik di pentas dunia.
Tegas beliau, orang
Melayu tidak mempunyai pilihan kecuali berubah kerana jika orang
Melayu gagal menakhoda zaman akan ketinggalan zaman.
"Sebahagian besar
kandungan buku ini menjurus kepada usaha mengajak bangsa Melayu
menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan dan
membina masa depan dalam zaman yang serba mencabar ini," katanya.
Diedit oleh admin. 12/10/2009 |