|

»
Isa Samad 'sifu' di Bagan Pinang

PORT DICKSON 29 Sept. -
Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan
Raya Kecil DUN Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60,
bukanlah orang baru di kalangan pengundi di situ. Bagi pengundi
di Bagan Pinang, Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu merupakan
pemimpin yang mesra dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja,
bahkan disenangi semua kaum. Mohd. Isa memulakan karier
politiknya pada tahun 1978 dengan memenangi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) kawasan Linggi, sebelum dilantik menjadi
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah pilihan raya pada
1982.
Pada tahun 1982, beliau
dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan sehinggalah tahun 2004
dan menyandang jawatan berkenaan selama 22 tahun - angka yang
sinonim dengan nombor keahlian UMNO beliau iaitu nombor 22. Di
peringkat akar umbi pula, beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian
Teluk Kemang sejak 1978 sehinggalah sekarang.
Pada tahun 1993, Mohd.
Isa meneruskan pengaruhnya dalam parti UMNO apabila bertanding
jawatan Ketua Pemuda UMNO, bagaimanapun tewas kepada Tan Sri
Rahim Thamby Chik. Dalam pilihan raya pada tahun 1999, Mohd. Isa
menewaskan calon Pas, Dr. Rosli Yaakop di kawasan N29, Linggi.
Dalam perhimpunan Agung
UMNO 2000, Mohd. Isa telah bertanding merebut jawatan Naib
Presiden UMNO tetapi tewas. Beliau dikenali sebagai individu
yang tidak pernah kecewa meneruskan langkah politiknya dengan
bijak dan tenteram. Perkara itu telah dibuktikan apabila beliau
memenangi kerusi Parlimen Jempol pada pilihan raya tahun 2004.
Sebelum itu, kawasan Parlimen berkenaan disandang oleh Datuk
Khalid Yunus. Berikutan itu, Mohd. Isa dilantik menjadi Menteri
Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2006.
Petikan dari utusan
online, sumber gambar dari AgendaDaily. Diedit oleh admin.
30/09/2009. |