SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

» Jangan sekadar laung 'merdeka'

  

Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan. Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.

Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.

Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?

Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika generasi tersebut terus 'dijajah' akibat ledakan teknologi maklumat sekarang. Kehilangan identiti bangsa tersebut sekali gus akan meletakkan Malaysia dalam bahaya. Impian untuk melihat kita maju dengan acuan sendiri hanya akan menjadi satu mimpi indah yang mengasyikkan.Persoalannya, sebelum terlambat apakah yang boleh kita lakukan, bagi mengembalikan sebahagian generasi muda ini untuk memahami betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan dan betapa pentingnya mereka menghargai negara sendiri.

Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya? Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.

Semua ini hanya akan mampu tercapai seandainya, daripada sekarang kita menerapkan kepada mereka untuk menghargai kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Kita harus faham sama ada sesebuah negara itu mampu terus merdeka atau tidak, ia bergantung kepada pewaris pemerintahan negara. Janganlah kita terlalu ghairah mengejar soal-soal mencapai kemajuan dari segi fizikal tetapi dari segi semangat cintakan negara ia semakin pudar.

Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

Petikan dari utusanonline. 31/08/2009. Diedit oleh admin.