|

»
Bahaya matlamat
menghalalkan cara

Sekali lagi artikel saya
dalam Mingguan Malaysia mendapat perhatian yang serius daripada
akhbar-akhbar Cina seperti China Press, Sin Chew, Nanyang Siang
Pau dan beberapa laman web pembangkang. Beberapa isu
dimanipulasi untuk menagih simpati. Terima kasih saya ucapkan.
Nasib baik saya tidak melayan panggilan demi panggilan yang
ajukan itu. Jika tidak, saya tidak tahu, apa lagi kenyataan saya
yang akan diputarbelitkan. Mereka turut bertanya, adakah saya
dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis
artikel ini. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti
kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen
ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamerkan
kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan
ultra kiasu yang masih tidak sedar diri.
Alhamdulillah, dengan
peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra
kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru
sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak
pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa
menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih
simpati dan agenda politik tersembunyi. Ini budaya yang telah
melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52
tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong
oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis,
mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang
dia yang lebih.
Mereka begitu pandai
berpolitik. Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan
perpecahan Melayu. Jika Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin,
mereka seberani ini. Keberanian mereka disebabkan ada segelintir
orang Melayu bersama mereka. Ini yang menjadikan mereka semakin
besar kepala seperti kaduk naik junjung. Saya kena bercakap
kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut
kehilangan kuasa politik. Saya rela dikutuk dicerca dan dihina
oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam
merempat di bumi sendiri. Perjuangan kita tidak pernah selesai
selagi hayat dikandung badan.
Saya cuma mengingatkan
kita agar jangan menjadi seperti kaduk naik junjung. Jagalah
hati lain sama terutama hati orang Islam (Melayu) yang banyak
bertolak ansur dengan kita. Mereka juga ramai yang menghadapi
masalah yang sama seperti apa yang berlaku. Adakah kita mahukan
kes ini menjadi precedent, yang akan menghalalkan segala
perlakuan sumbang selepas ini? Saya dituduh kerana cuba memasuki
unsur-unsur agama dalam isu ini. Tidakkah unsur-unsur agama ini
menjadi sebahagian daripada rule of law? Mereka mengatakan
bahawa negara ini harus ditadbirkan rule of law. Persoalan saya,
adakah undang-undang dan akta ini bukan rule of law. Apa guna
kewujudan Jabatan Pendaftaran Negara jika hidup berkeluarga
tidak perlu disahkan. Sila rujuk undang-undang Jabatan
Pendaftaran Negara, bahagian keluarga, perkahwinan, nikah dan
cerai. Sila baca akta nikah dan cerai 1976 dan akta kelahiran
dan kematian 1975.
Kes yang sama berlaku di
Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini, apabila
mereka yang memperjuangkan undang-undang syariah di negeri
sendiri, dituduh oleh DAP sebagai pelampau atau ekstremis.
Jemaah Islam Malaysia (JIM), sebuah pertubuhan moderat Islam,
dituduhkan oleh ahli Parlimen Jelutung DAP, Jeff Ooi sebagai
ekstremis atau pelampau. Manakala tindakan penguatkuasa Majlis
Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas arak yang dijual di
salah sebuah premis perniagaan di Shah Alam, yakni kawasan
majoriti umat Islam, dihalang oleh Ronnie Liu, Exco Kerajaan
Tempatan Selangor.
Tindakan DAP ini
teramat-amat menghiris perasaan umat Islam. Saya juga mahu
melihat apakah akhbar-akhbar Cina akan memaparkan berita ini di
muka hadapan dan mendesak DAP meminta maaf kepada seluruh umat
Islam seperti yang dilakukan terhadap artikel yang saya tulis?
Kalau artikel yang saya ditulis diapi-apikan setiap hari,
perkara yang sama hendaklah dilakukan oleh akhbar ultra kiasu
ini, kerana tindakan DAP ini sudah mencabar kesucian dan
kedaulatan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam
perlembagaan. Tindakan DAP ini bukan sahaja tidak sensitif,
malahan dilihat cuba menghina dan merendah-rendah martabat agama
Islam.
Persoalannya, adakah
mereka akan meminta maaf? Apakah Pemuda DAP atau DAPSY akan
mengeluarkan kenyataan yang sama seperti mana mereka memaksa
saya meminta maaf? Ini yang selalu saya katakan, bila saya
menulis perkara menyebelahi Islam Melayu, saya dituduh tidak
sensitif dan dipaksa meminta maaf. Adakah DAP begitu sensitif?
Inilah yang saya katakan nasib Melayu di bumi Melayu. Bila isu
berkaitan bangsa Cina, akhbar-akhbar Cina mensensasikan isu
tersebut, bila berkaitan dengan Islam, senyap sepi dan dianggap
tidak penting.
Justeru, saya minta
parti-parti politik Cina dan akhbar-akhbar Cina mesti memaksa
Jeff Ooi dan Ronnie Liu minta maaf secara terbuka kepada umat
Islam. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh
dipermain-mainkan. Apatah lagi jika matlamat hendak menghalalkan
cara. ISA amat relevan untuk orang seperti ini.
Saya ingin mengingatkan
PAS supaya berhati-hati dengan DAP dan parti yang sekutu
dengannya. Parti DAP sudah terkenal dengan sikap ultra kiasu
sejak penubuhannya lagi selepas PAP. Mereka mahu menjadi negara
ini negara sekular, tanpa identiti Islam mahupun Melayu.
Sebarang percubaan untuk mengislamkan atau memelayukan identiti
negara ini akan ditentang habis-habis malah Karpal pernah
berkata langkah mayat beliau dulu jika PAS berniat untuk
menegakkan Negara Islam.
Saya amat berharap PAS
mengkaji balik pakatan mereka dengan puak ekstrem ini. Lebih
baik berkawan dan berdakwah dengan UMNO bagi membincangkan
agenda memperkasakan Islam dan umat Islam. Biarkan DAP berkawan
dengan mereka yang ingin menghalalkan cara. Saya ucapkan tahniah
kepada PAS kerana berani bersuara dan mempertahankan yang hak.
Ingatlah, selama-lamanya DAP tidak pernah bersetuju dengan
Islam. DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat
dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah
dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama,
sebab agama itu datang daripada Tuhan. Suka atau tidak kita
dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama.
Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian
mengikut agama.
Kita selalu berhujah
untuk mempertahankan keburukan yang telah dilakukan. Misalnya,
apa salahnya jika bersekedudukan sebelum nikah, asalkan kita
bertanggungjawab selepas itu. Persoalan saya, bagaimana jika
selepas itu, si polan mengambil keputusan tidak mahu mengambil
tanggungjawab tersebut atau meninggal teman wanitanya secara
tiba-tiba? Ada yang hanya sempat berkahwin 10 hari, kemudian
bercerai. Siapakah yang akan menjadi mangsa? Sudah tentu wanita.
Justeru, bila ada rule of law, nasib wanita akan sentiasa
terbela.
Petikan dari Utusan.Dr.
Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia. Diedit oleh admin. 10/08/2009.
Petikan dari agendadaily. Diedit oleh admin
05/08/2009.
|