|

Empat langkah tambahan bendung penularan H1N1.
PUTRAJAYA 4 Ogos –
Kerajaan hari ini memutuskan empat langkah tambahan menangani
wabak selesema babi atau influeza A (H1N1) yang sehingga kini
telah mengorbankan sembilan nyawa.
a)Meningkatkan simpanan
stok antivirus dari 10 kepada 20 peratus melibatkan kos sebanyak
RM20 juta.
b)Memberi rawatan
antivirus serta merta kepada enam kategori pesakit yang berisiko
dan mempunyai simptom selesema babi.
c)Melaksanakan saringan
suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas bermula. Semua
guru kelas akan dibekalkan dengan alat penyukat suhu. Pelajar
yang didapati kurang sihat akan diasing dan dinasihat berehat di
rumah serta mematuhi nasihat kesihatan.
d)Menambah jumlah katil
di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital terbabit
sekiranya tidak mencukupi.
Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pesakit yang berisiko
dan mempunyai simptom HINI tidak perlu menjalani ujian
pengesahan.Katanya, rawatan antivirus akan diberi untuk kes-kes
yang dikesan dalam tempoh 48 jam selepas menunjukkan tanda
dijangkiti H1N1. Semua kes yang mempunyai simptom jangkitan
influenza dan mempunyai faktor risiko akan diberi rawatan
antivirus serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan
H1N1.Muhyiddin memberitahu, sebanyak 14 kes baru H1N1 melibatkan
jangkitan tempatan dan warga Malaysia dilaporkan hari ini di
mana 13 daripadanya merupakan kejadian daripada tiga kluster
baru serta satu kes terpencil.
Timbalan Perdana Menteri
menambah, berdasarkan situasi global, sehingga hari ini sebanyak
189,155 kes dengan 1,319 kematian dilaporkan membabitkan 168
negara dengan Pakistan melaporkan kes pertama.
Petikan dari utusan. 05/08/2009. Diedit oleh admin
|