|

MEMALUKAN NEGARA !
KUALA LUMPUR, 3 Ogos –
Insiden memalukan yang mengakibatkan Ibu Kota menjadi
kucar-kacir berulang kembali Sabtu lalu yang pastinya
meninggalkan detik hitam dan mencalar keharmonian serta
kesejahteraan negara bukan sahaja di mata rakyat tempatan tetapi
juga di peringkat antarabangsa. Sesungguhnya, peristiwa
sedemikian tidak menguntungkan sesiapa kecuali didalangi
kelompok tidak bertanggungjawab yang sememangnya sengaja mahukan
publisiti murahan hinggakan sanggup menggadaikan maruah negara
dan memperalatkan rakyat dengan tingkah sedemikian.
Bukan sekali atau dua
kali amaran dari pihak berkuasa dikeluarkan malahan para
pemimpin termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menegah dan
menempelak pihak yang menganjurkannya di samping
individu-individu yang lebih mementingkan idealogi songsang
sendiri. Sewajarnya, sebelum melakukan sebarang tindakan, kenapa
tidak difikirkan terlebih dahulu apa yang mahu dibuat lantas
impaknya kepada diri sendiri dan khalayak serta paling penting
nama bangsa dan negara.
Apatah lagi, kawasan
yang menjadi lokasi perhimpunan adalah kawasan awam yang
sememangnya tumpuan utama kepada golongan rakyat semua peringkat
khususnya hujung minggu untuk membeli belah dan mengisi ruang
santai.
Malangnya, perhimpunan
yang didalangi para pemimpin pembangkang ini menjadikan orang
awam sebagai mangsa dan Ibu Kota hura-hara. Kesannya, kerugian
yang berlaku ekoran insiden tersebut dikatan menjangkai RM200
juta, di samping beberapa kompleks membeli belah utama juga
terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit ekoran
terpaksa ditutup dan tempiasnya lebih dirasai oleh golongan
peniaga kecil yang menunggu hujung minggu untuk mendapatkan
rezeki tambahan.
Ini belum lagi dengan
kerosakan harta benda awam susulan tindakan tidak
bertanggungjawab para penunjuk perasaan yang tidak kurang
bertindak ganas dan sanggup bertempur dengan pihak polis. Bukan
itu sahaja, ekoran insiden tersebut, dilaporkan bahawa kesesakan
lalu lintas melarat hingga ke pinggir Ibu Kota apabila hampir
keseluruhan jalan-jalan utama terpaksa ditutup termasuklah
laluan ke Sungai Besi.
Lantaran itu, tindakan
pihak polis adalah wajar termasuklah penahanan hampir 600
individu yang bertindak ganas dan menghasut orang ramai.
Malangnya, para pemimpin pembangkang seakan bangga dengan
keadaan huru-hara dan kucar-kacir yang disokong oleh mereka
lantas mengatakan bahawa perhimpunan tersebut adalah berjaya
sedangkan realitinya yang menjadi mangsa adalah masyarakat dan
para peniaga yang ada di Ibu Kota.
Bayangkanlah, jika para
pemimpin pembangkang ini mendapat kuasa, tentunya punah ranahlah
negara ekoran daripada tindakan demonstrasi jalanan yang
didukung mereka lantas apa pula jaminan untuk kesejahteraan dan
keamanan rakyat apatah lagi untuk bersosial di hujung minggu.
Lantaran itu, kewajaran
yang paling tepat, para pemimpin pembangkang menggunakan
perhimpunan jalanan bagi mengaut publisiti lantaran tewas dengan
agenda Kerajaan dan impian Satu Malaysia keseluruhan rakyat
Petikan dari Umno Online. 04/08/2009. |