|

Kes Teoh:Suruhanjaya Diraja Ditubuhkan

Kabinet hari Rabu membuat tiga keputusan berhubung dengan kes
kematian setiausaha polik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock
yang bertujuan mahu penyiasatan dilakukan dengan menyeluruh bagi
mencari punca kejadian berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika
mengumumkan perkara itu berkata, cabinet mengambil keputusan
supaya satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret
dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh.
Inkues berkenaan dijangka akan bermula minggu depan.
Keduanya menurut Najib, satu Suruhanjaya Diraja akan diwujudkan
bagi meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang
diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa
proses soal siasat dijalankan termasuk dalam kes Teoh.
Ketiganya, kabinet mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan
polis menyelesaikan kes siasatan Teoh dengan secepat mungkin dan
laporan siasatan akan diumumkan kepada awam.
Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen
kerajaan untuk mencari punca kejadiantersebut agar keluarga
saudara Teoh dan masyarakat mengetahui sebenarnya apa yang
berlaku. Najib pada sidang media itu turut merakamkan takziah
kepada keluarga Teoh bagi pihak kabinet. Beliau juga menjelaskan,
selaras dengan konsep 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian
Diutamakan, beliau telah memaklumkan kepada kabinet bahawa
institusi kerajaan diwujudkan hanya untuk menjaga hak dan
kepentingan rakyat.
Diedit oleh admin. 22 Julai 2009.
|