|

Nik Aziz bidas Nasharudin.

KOTA BHARU 17 Jun –
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta
Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden
Pas dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk
menubuhkan kerajaan perpaduan. Nik Abdul Aziz turut meminta
Nasharudin supaya keluar daripada Pas dan menyertai UMNO kerana
tindak-tanduknya itu lebih banyak menimbulkan kecelaruan kepada
ahli parti itu. Beliau dengan nada marah menyifatkan pemimpin
nombor dua Pas itu sebagai tidak bermoral kerana telah membuat
‘sampah’ dalam parti tersebut.
Berikut ialah transkrip
kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai kerajaan perpaduan pada sidang
akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini:
Komen Tok Guru kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang yakin
dengan keikhlasan Pas berhubung cadangan penubuhan kerajaan
perpaduan dan reaksi balas Timbalan Presiden Pas hari ini?
Pertama sekali saya nak
ulangi kenyataan saya dulu bahawa isu perpaduan ini bukan datang
daripada Pas tetapi lontaran (idea) daripada peribadi tertentu.
Bukan daripada Pas. Kalau Perdana Menteri kata ianya dari Pas,
itu tak betul. Itu lontaran peribadi dan tidak masuk dalam
kertas agenda mesyuarat parti dan juga kertas agenda mesyuarat
pakatan (pembangkang). Sebab itu pakatan tidak tahu. Maka
bagaimana hendak sebut Pas setuju... tidak boleh.
Kalau setakat hendak
berunding untuk kerjasama sahaja dan bukan untuk kerajaan
perpaduan bagaimana pendapat Tok Guru? Bawa benda ini dalam
mesyuarat parti dan yang kedua kepada pakatan. Kalau Pas setuju
dan pakatan setuju, lain masalahnya.
Pas tidak bincang,
pakatan pun tidak bincang. Mana boleh kita hendak bercakap benda
ini sebab itu saya kata ini kerja boneka UMNO. Saya ulangi lagi
ini kerja boneka UMNO. Kalau benar Timbalan Presiden Pas,
Nasharuddin Mat Isa hendak setuju, lebih baik masuk UMNO, terang.
Saya sebut lebih baik masuk UMNO, letak jawatan di Bachok dan
bertanding (semula).
Apa yang duduk buat
sampah ini, menyusahkan orang. Dia tidak tahu bagaimana susahnya
saya ada yang telefon, datang jumpa sendiri menangis-nangis dan
sebak dari dalam dan luar Kelantan. Malah ada setengah yang
datang jumpa saya sebak tidak boleh kata apa, tidak boleh cerita.
Apa cerita ini, dia
masuk UMNO senanglah daripada duduk bertenggek dalam Pas. Tidak
ada moral orang panggil, tidak boleh macam ini. Kalau semua
setuju, pakatan setuju, Pas setuju. Semua jadi anggota kerajaan,
DAP jadi menteri, Pas jadi menteri, Keadilan jadi menteri, baru
benar-benar perpaduan.
Ini bukan perpaduan
tetapi perpecahan. UMNO sekarang berpesta. Pesta bahawa Pas
sudah masuk perangkap. Pas sama Pas kalut, Pas dengan pakatan
bergaduh. Pas sudah bercelaru, Pas dengan pakatan pun bercelaru.
UMNO sudah berjaya pecah belahkan orang Pas tetapi Alhamdulillah
dapat dibendung dengan kenyataan saya baru-baru ini. Tidak boleh
terima orang ini, boneka UMNO.
Tok Guru akan terus beri
nasihat kepada orang Pas yang menyokong kerajaan
perpaduan?Hendak nasihat apa lagi orang ini, boneka UMNO.Nasihat
kepada ahli Pas yang memahami isu perpaduan ini?
Saya ucapkan terima
kasih sebab semua orang sudah faham selepas saya buat kenyataan
dulu. Cukuplah setakat ini.
Sumber gambar dari
agendadaily. Sumber artikel dari utusan. 18hb Jun 2009.
|