SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 


Hanya muzakarah

Apa yang kecoh sangat soal kerajaan perpaduan hingga pihak pembangkang menuduh UMNO cuba memecahbelahkan pakatan pembangkang padahalnya isu asal adalah cadangan muzakarah antara UMNO – PAS saja. Soal kerajaan langsung tidak timbul.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin Datuk Abu Bakar membidas pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang yang memutarbelitkan kenyataan bahawa usaha muzakarah itu bertujuan memecahbelah pakatan pembangkang.

“Sebenarnya kenyataan pemimpin pembangkang itu adalah untuk mengabui serta menutup masalah yang sedang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini, kita hanya pelawa PAS untuk berbincang, takkan dengan jemputan kerdil itu menjadi masalah yang amat besar sekarang,” jelas Khairy

Khairy yang diminta mengulas situasi kecoh dalam PAS dan pakatan pembangkang sekarang berkata, “saya melihat sebagai semacam ada satu perpecahan atau ketidaksefahaman yang mana ada pihak yang ingin berada dalam pakatan pembangkang tetapi terdapat banyak persoalan yang tidak terjawab seperti senarai kabinet bayangan.”

“PAS kata dalam muktamar mereka pegang jawatan Perdana Menteri, saya tak fikir DAP dan Keadilan setuju, ini perkara serius dalam pakatanpembangkang dan tidak ada kena mengena dengan muzakarah UMNO-PAS,” tambah Khairy.

Mengulas komen Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang anggap mereka yang mempertahankan kerajaan perpaduan adalah ‘boneka UMNO’, Khairy berkata, “maka maksudnya mereka yang menyokong pakatan pembangkang pula mungkin boneka kepada DAP dan Keadilan, jangan buruk sangka.”

Ditanya pandangan beliau tentang isu muzakarah itu telah menimbulkan polimek dan kecoh dalam PAS dan hingga Nik Aziz memberi komen sebegitu, Khairy berkata, “saya tidak tahu kenapa jemputan yang begitu ikhlas dan mudah menjadi masalah yang begitu besar.”

“Bukannya kita hendak tubuhkan kerajaan perpaduan, saya cadangkan apa yang berlaku tahun lepas, perbincangan beberapa pemimpin UMNO dan PAS diteruskan…itu saja, takkan kita tidak boleh berbincang dengan mana-mana parti politik malah parti komponen Barisan Nasional (BN) pun.

"Kata tidak jadi masalah untuk UMNO berbincang dengan PAS, bukannya ada apa-apa kerjasama formal,” katanya.

Khairy juga menegaskan bahawa soal kerajaan perpaduan tidak timbul tetapi hanya memberi tumpuan pada muzakarah.

Petikan dari agendadaily. 13/06/2009.