|

PM : Usah terlalu bernostalgia

PEKAN 10 Mei -
Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO
supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti
itu pada masa lalu.
''Sekarang
bukan zaman seperti UMNO mula-mula dilahirkan. Ramai kalangan
generasi hari ini tidak berpengalaman melalui peristiwa penting
seperti tragedi 13 Mei dan kegawatan ekonomi pada 1997.'Jadi,
kita tidak boleh bersandar kepada nostalgia dan sentimen kerana
walaupun jasa menggunung tinggi, ia bukan jaminan untuk terus
mendapat sokongan rakyat," katanya.
Najib
seterusnya memberitahu, masyarakat kini terbahagi dua iaitu
kelompok berpendidikan tinggi yang mempunyai 'kuasa' maklumat
dan golongan muda yang hanya mengetahui peristiwa-peristiwa
bersejarah negara menerusi bacaan dan lisan. Golongan muda kini
juga, jelas beliau, mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan
maklumat menerusi media alternatif seperti laman web dan blog.
Sambil menyifatkan golongan muda sebagai 'kain putih', beliau
mahu pemimpin dan ahli UMNO mencari kaedah terbaik mendekati
mereka dan menyalurkan maklumat tanpa dipengaruhi anasir negatif.
''Cara kita (UMNO)
berbicara dalam media alternatif adalah penting. Generasi baru
mendapat maklumat melalui media alternatif dan bukan media arus
perdana.
Najib turut
mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak hanya menjalinkan
hubungan erat dengan ahli parti semata-mata dan meminggirkan
golongan yang berada di luar parti.
''Bermuhasabah
dan bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka tidak menyokong
kita, kena fikir seperti peniaga mengapa orang tidak mahu
membeli barang kita. Buatlah analisis.
''Selama ini,
mungkin kita tidak rajin untuk menolong orang lain, tidak rajin
pergi kenduri-kendara dan majlis-majlis keagamaan yang
dianjurkan penduduk kampung. Sikap sedemikian menyebabkan UMNO
semakin hilang 'roh' dan semangat sebagaimana yang dilakukan
oleh ahli-ahli parti terdahulu yang berjuang menentang gagasan
Malayan Union," jelasnya.
Petikan dari
Utusan. 11hb Mei 2009.
|