|

KENYATAAN AKHBAR MB PERAK : DUN PERAK.
 
Saya ingin menjelaskan
beberapa insiden yang berlaku dalam sidang Dewan Undangan Negeri
Perak hari ini. Pihak Yang DiPertua Dewan YB Dato’ R. Ganesan
terpaksa memanggil bantuan polis dan kakitangan kerajaan
termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang dan
Ketua Polis Negeri serta lain-lain kakitangan kerajaan yang
terlibat ke dalam.
Pada hari ini sidang Dewan telah bermula pada pukul 10.15 pagi,
bagimanapun sidang Dewan tidak dapat berjalan dengan lancar
disebabkan Adun-adun Pembangkang telah mengganggu perjalanan
sidang Dewan.Mereka meninggalkan tempat duduk mereka dan secara
“biadap” menyerang Adun-adun Barisan Nasional serta Bebas dengan
mewujudkan suasana haru biru dan tidak terkawal.
YB Sivakumar juga telah mengarahkan saya dan Exco-Exco serta 3
Adun Bebas keluar dari dewan dan beliau tidak mengiktiraf
perintah - perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah
Persekutuan.Adun-adun Pembangkang juga cuba menghalang Adun-adun
Barisan Nasional menjalankan tugas kami sebagai ahli-ahli Dewan
Negeri Perak. Sidang Dewan hari ini telah terpaksa ditangguhkan
sebanyak dua kali bagi mengawal keadaan di dalam Dewan tersebut.
Pada jam 2 petang Dewan kembali bersidang dan Yang DiPertua YB
Dato’ R. Ganesan, telah mengarahkan YB Sivakumar untuk
mengosongkan tempat duduk Speaker dan kembali ke tempat duduk
ADUN yang biasa. YB Sivakumar tidak mengendahkan arahan Speaker
walaupun telah diberi amaran oleh Yang DiPertua YB R. Ganesan.
Yang DiPertua YB Dato’ R. Ganesan kemudiannya telah mengarahkan
Bentara untuk mengiringi YB Sivakumar kembali ke tempat duduk
ADUN biasa dan tidak diperdulikan beliau.
Bentara kemudiannya telah dikasari oleh beberapa ADUN
Pembangkang dan berlaku pergelutan. Yang DiPertua YB Dato’ R.
Ganesan tidak mempunyai pilihan lain utuk mengawal keamanan di
dalam Dewan kecuali dengan mengarahkan pihak PDRM untuk membantu
Bentara menjalankan tugasnya mematuhi arahan Yang DiPertua Dewan.
Ini termaktub di bawah Perkara 90 Perintah-perintah Tetap, yang
menyebut “semua perkara yang tidak diperuntukkan dengan
khususnya dalam perintah-perintah tetap hendaklah diaturkan
menurut cara yang tidak berlawanan dengan perintah-perintah
tetap ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Tuan Yang DiPertua
dari masa ke semasa.”
Dalam kejadian tadi tuan Yang DiPertua telah sedaya upaya
menggunakan kuasanya untuk mengeluarkan YB Sivakumar dari tempat
duduk Yang DiPertua bagi melaksanakan tanggungjawab
beliau.Bagaimanapun YB Sivakumar tidak memberi kerjasama apabila
Yang DiPertua YB Dato’ R. Ganesan, mengarahkan beliau
mengosongkan tempat duduk speaker dan pulang ke tempat duduk
beliau sebagai Adun biasa.
Arahan ini telah diberikan dua kali, dan amaran juga telah tidak
diendahkan oleh YB Sivakumar. Yang DiPertua kemudiannya telah
mengarahkan Bentara untuk melaksanakan tugasnya untuk
mengosongkan kerusi speaker. Bagaimanapun Bentara telah dihalang
dan dikasari dengan ditolak berkali-kali oleh Adun pakatan
pembangkang sehingga pasu bunga hiasan berhampiran dengan tempat
duduk DYTM bertitah pecah.
Oleh itu secara waras Yang DiPertua tidak ada cara lain untuk
mengamankan keadaan di dalam Dewan kecuali meminta sokongan dari
pihak Polis DiRaja Malaysia untuk membanru Bentara melaksanakan
tugasnya.Yang DiPertua R. Ganesan telah bersabar sejak 10.30am,
iaitu selama lebih empat jam, dan menangguhkan Dewan sebanyak
dua kali sebelum mengambil tindakan ini.
Saya juga ingin menyatakan kekesalan saya terhadap barisan
pembangkang yang bertindak biadap di dalam dewan. Mereka
bertindak menggunakan “undang-undang rimba”, serta tidak
menghormati peraturan.Mereka juga gagal menghormati institusi
Raja kerana menyebab DYTM Raja Muda Perak terpaksa menunggu
kerana menghalang YangDiPertua YB R. Ganesan menjalankan
tugasnya dan menjemput Baginda untuk merasmikan sidang Dewan.
Pakatan pembangkang juga gagal meletakkan taraf Dewan sebagai
institusi yang mulia kerana menjerit dan mengherdik ketika ia
bersidang.Walau bagaimanapun saya bersyukur akhirnya setelah
Yang DiPertua, menjemput DYTM Raja Muda dan baginda memberikan
titah ucapan baginda, keadaan menjadi terkawal dan aman.
Saya menjunjung kasih Tuanku dan juga berterimakasih atas
sokongan padu seluruh rakyat negeri Perak.Saya juga ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli YB Barisan
Nasional dan tiga adun bebas kerana bersabar dengan karenah
pembangkang. Terima kasih saya juga kepada pihak Polis DiRaja
Malaysia kerana menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Petikan dari
www.zambry.com. Gambar dari www.selamatkanperak.blogspot.com
|