|

Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Impian sepanjang hayat Perdana Menteri Malaysia Ke-6, Dato' Sri
Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak, ialah satu Malaysia yang
bersatu padu, aman dan makmur, dengan peluang yang bukan sedikit
untuk semua rakyat.
Sebagai putera kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham
Tun Abd Razak, Najib dilahirkan di tengah-tengah gelanggang
politik. Najib membesar dengan memerhatikan bapanya serta
memahami kehendak politik arus perdana. Beliau sentiasa
mengerti bahawa bila sampai waktunya beliau juga mahu berbakti
kepada masyarakat dan negara. Namun pemergian bapanya pada
ketika yang tidak dijangka, 14 Januari 1976, ketika menjejaki
usia 54 tahun, telah menyorongkan Najib ke hadapan sehingga
menjadi tumpuan utama. Lima minggu selepas pemergian bapanya,
pada usia 22 tahun, Najib telah terpilih untuk mengisi
kekosongan kerusi Parlimen Pekan, menjadikan beliau Ahli
Parlimen yang paling muda dalam sejarah Malaysia. Pada 2004,
beliau telah menyandang jawatan kedua tertinggi dalam negara
sebagai Timbalan Perdana Menteri, 47 tahun setelah bapanya
dilantik ke jawatan yang sama.
Dato' Sri Mohd Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala
Lipis, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan di St. John’s
Institution, Kuala Lumpur dan Malvern Boy’s College,
Worcestershire, England sebelum menamatkan pengajian peringkat
ijazah dalam bidang Ekonomi Perindustrian daripada Nottingham
University. Sekembalinya ke Malaysia pada 1974, beliau telah
menyertai dunia korporat bila berkhidmat untuk satu waktu yang
singkat dengan Bank Negara, kemudiannya beralih ke PETRONAS (perbadanan
petroleum negara) sebagai Pengurus Hal Ehwal Awam. Namun
pemergian Tun Abd Razak secara tiba-tiba itu telah merobah corak
kehidupan beliau secara dramatik.
Najib pantas menyesuaikan dirinya dengan kehidupan umum sebagai
Ahli Parlimen, dan kemudiannya mendapati kemahiran berpolitik
itu begitu serasi dengan dirinya. Tidak lama kemudian, Najib
yang masih muda belia telah memperlihatkan bahawa beliau ialah
seorang ahli politik yang boleh dipercayai dan berkebolehan
serta berhak dipanggil pemimpin atas keupayaan dirinya sendiri.
Pada tahun pertamanya sebagai Ahli Parlimen, beliau telah
dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga Telekomunikasi dan Pos,
dan kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dan
selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada 1982, Perdana
Menteri yang baru, Dr. Mahathir Mohamad telah mencalonkan Dato’
Sri Mohd Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri
bagi kawasan Pekan. Berikutan dengan kejayaannya, Najib yang
berusia 29 tahun ketika itu dilantik menjadi Menteri Besar
Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Pahang pada
ketika itu hampir-hampir terjebak dalam satu krisis politik
disebabkan oleh perbezaan yang serius antara bekas Menteri
Besar dan Sultan Pahang. Tetapi Najib bukan sahaja sebutir
bintang yang sedang bergemerlapan, beliau juga ialah salah
seorang daripada Pembesar Berempat Istana Pahang (kerana
mewarisi gelaran turun temurun sebagai Orang Kaya Indera
Shahbandar). Dengan yang demikian diterima dengan tangan
terbuka oleh pihak Istana. Krisis yang melanda itu dengan cepat
dapat diredakan, memastikan perpaduan dalam UMNO Pahang.
Selanjutnya Najib memulakan langkah untuk mengukuhkan
pendidikan di dalam negeri.
Pada 1992 Najib telah memainkan peranan utama dalam penubuhan
Yayasan Pahang, sebuah yayasan yang membaktikan kepada
penggalakan pendidikan dan sukan di kalangan belia Pahang
melalui biasiswa dan pembiayaan. Najib telah memperkukuh
perusahaan negeri untuk memaksimumkan pendapatan daripada sumber
kekayaan semula jadi negeri Pahang. Dengan kerjasama FELDA,
Perbadanan Pembangunan Tanah Persekutuan, beliau telah merintis
jalan kepada pembentukan skim penempatan tanah baru, memberikan
peluang-peluang pendapatan baru kepada mereka yang tidak
mempunyai tanah dan berada dalam kelompok yang berpendapatan
rendah.
Dato Sri Mohd Najib mula menyandang jawatan Timbalan Ketua
Pemuda UMNO pada 1982, dan naik sebagai ketua pergerakan
tersebut pada 1987. Pada 1988, setelah satu pergolakan
menguasai parti, satu UMNO baru yang telah disusun semula
diwujudkan dan Najib telah dilantik sebagai Ketua Pemuda,
jawatan yang disandang beliau sehingga 1993.
Dalam pilihan raya 1986, Najib dikembalikan sebagai Ahli
Parlimen kawasan Pekan, dan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan. Sebaik sahaja dilantik beliau terus memberikan
tumpuan kepada penggalakan sukan dan memperkenalkan Dasar Sukan
Negara pada 1988. Pada 1989, Malaysia telah mencapai kejayaan
yang terbaik pernah dicapainya di Sukan Asia Tenggara (Sukan
SEA), yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun itu.
Pada 1991, Dato’ Sri Najib telah dilantik sebagai Menteri
Pertahanan. Najib telah mencergaskan semula sebuah Kementerian
yang dilihat sebagai tidak bermaya dan lembap. Beliau telah
memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan
keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Pada 1995, Dato’
Sri Najib mengalami perubahan dalam portfolio kabinet, yang mana
beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah
mengambil cabaran untuk menyambut aspirasi Malaysia yang baru
sahaja diumumkan ketika itu, untuk menjadi sebuah negara maju
yang sepenuhnya pada tahun 2020. Sepanjang tempoh lima tahun
perkhidmatannya, Najib telah mewujudkan mekanisme yang dapat
membolehkan generasi rakyat Malaysia menghadapi cabaran masa
mendatang. Beliau telah menstrukturkan semula Kementerian ini,
memperbadankan universiti dan institusi awam, serta menggalakkan
kerjasama dengan universiti dan institusi luar negara. Langkah
ini telah memberikan lebih banyak peluang pendidikan kepada
rakyat Malaysia dan meletakkan Malaysia sebagai satu hab
pembelajaran serantau. Dato' Sri Najib juga telah meningkatkan
sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam
kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang
lebih tinggi.
Pada 1999, berikutan pergolakan politik pada tahun sebelumnya,
Najib memenangi pemilihan semula kerusi Parlimen Pekan. Beliau
telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan buat kali keduanya dan
meneruskan usaha untuk meningkatkan dan memodenkan Angkatan
Tentera Malaysia. Apabila beliau dilantik sebagai Timbalan
Perdana Menteri pada 2004, Dato’ Sri Najib telah diserahkan
dengan portfolio tanggungjawab yang banyak dan besar, termasuk
mengawasi FELDA, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau mempengerusikan 28
Jawatankuasa Kabinet yang membincangkan pelbagai isu.
Dato’ Sri Najib telah berkahwin dengan YABhg. Datin Sri Rosmah
Mansor, dan bapa kepada lima orang anak.
Pada 3hb April 2009, Dato; Sri Mohd Najib Tun Razak dilantik
sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan
Agong, dalam satu proses peralihan kuasa yang lancar oleh YAB
Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.
Petikan dari website 1Malaysia.com.my 12hb April 2009.
|