SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

 

Nizar calon Pas di Bukit Gantang.

TAIPING 23 Mac - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dipilih sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini. Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis mengumumkan calon di padang Taman Kota Jaya, Simpang di sini malam ini.

Mohammad Nizar dalam ucapannya berkata, beliau akan melaksanakan segala usaha dan tugas baik yang dilaksanakan oleh Allahyarham Roslan Shaharum bagi membela nasib rakyat di kawasan ini.

''Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Presiden (Abdul Hadi) dan seluruh pimpinan pakatan pembangkang yang telah mencalonkan saya bertanding di Bukit Gantang.

''Terima kasih atas kepercayaan yang diberi dan saya mengambil kesempatan memohon simpati pengundi dari Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering untuk mengundi saya," kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang turut menyeru kepada pengundi agar menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa seluruh rakyat terus menyokong pakatan pembangkang.

Katanya, niat berkenaan harus diterjemahkan melalui undi kepada Pas sebagai lambang bahawa itulah kehendak sebenar rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Abdul Hadi pula berkata, pengundi di Bukit Gantang bukan sahaja diamanahkan untuk memilih pemimpin tetapi juga untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka tetap bersama pakatan pembangkang.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu pengundi telah memilih calon Pas maka sokongan berkenaan perlu diteruskan supaya pakatan pembangkang dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

 

Petikan dari utusan. Gambar dari pewarismelayu blog. Diedit oleh admin 24hb Mac 2009.