|

CHE-DET : (PPSMI)

1. Saya berasa amat
sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang
dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains
dan matematik dalam bahasa Inggeris.
2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan
perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk
memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk
penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.
4. Yang boleh
meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran
bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata
pelajaran sastera.
5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa,
khususnya bahasa Melayu.
6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada
bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan
dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang
di-Inggeriskan.
7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini,
seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.
8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua
tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada
perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.
9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas.
Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti
berikut;
10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118)
elemen.
11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada
perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika
semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi
bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan
bahasa Melayu lagi.
12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu
ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik,
penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui
ratusan kertas-kertas yang ditulis.
13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk
menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.
14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan
seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang
layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur
hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu,
orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak
ikuti perkembangan ilmu sains?
15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan
beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau
bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu
baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang
amat penting di zaman ini.
16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas,
kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar
sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris.
Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya
belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris
sebagai buku teks.
17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa
Inggeris?
18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka
yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan
dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah
dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung
juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka
sering berbahasa Inggeris.
19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh
bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting
dalam Kementerian Luar?
20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan
sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan
antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil
bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?
21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya
sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.
22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika
bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan
diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang
Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada
masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam
ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak
lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam
terpaksa belajar bahasa Eropah.
23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita
perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu
dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu
akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.
24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita
supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan
penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar
bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.
25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang.
Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya
kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita.
Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang
sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan
dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa
sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani
orang.
26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan
oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang
berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.
Petikan dari chedet 14hb
mac 2009.
|