SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

 

Ketua Puteri Perak tarik diri.

IPOH 15 Mac – Ketua Puteri UMNO Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin menegaskan beliau tidak didesak oleh mana-mana pihak supaya menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Sebaliknya kata beliau, keputusan nekadnya itu adalah atas dasar lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding peribadi.

‘‘Keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Ketua dan tidak mempertahankan jawatan Exco Puteri dibuat secara sukarela tanpa desakan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Katanya, beliau sedar kerja-kerja berkempen membantu Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil 7 April ini lebih penting berbanding kempen bertanding merebut jawatan dalam parti.

‘‘Justeru, saya sanggup berkorban untuk tidak bertanding pada pemilihan parti kerana ingin menumpukan sepenuh masa berkempen dalam pilihan raya tersebut.

Beliau berkata, hasrat untuk bertanding jika diteruskan akan menyebabkan dirinya tidak mempunyai masa untuk membantu jentera pilihan raya BN sedangkan ia merupakan keutamaan parti ketika ini.

Wan Norashikin berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan Puteri UMNO negeri.

 

Petikan dari Utusan. 16hb Mac 2009.