SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

 

PAKEJ RM60 BILION

 

KUALA LUMPUR 10 Mac – Bajet Mini yang dibahagikan kepada empat teras itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010.

a) Teras pertama sebanyak RM2 bilion akan memberi tumpuan mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan;

b) Teras kedua, RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutamanya golongan mudah terjejas;

c) Teras ketiga, RM29 bilion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis dan

d) Teras keempat, RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan.

“Jumlah RM60 bilion ini merupakan hampir sembilan peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Pelaksanaan Pakej Rangsangan yang bersaiz besar seperti ini adalah kali pertama dilakukan dalam sejarah ekonomi negara,” katanya Datuk Seri Najib.

Menurut Najib, daripada jumlah pakej rangsangan kedua itu, sebanyak RM15 bilion merupakan suntikan fiskal, RM25 bilion Dana Jaminan, RM10 bilion pelaburan ekuiti, RM7 bilion daripada inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan off-budget serta RM3 bilion insentif cukai.

Beliau yakin peruntukan RM206 bilion dalam Bajet 2009, ditambah RM7 bilion Pakej Rangsangan Pertama dan kini RM60 bilion dalam Bajet Mini mampu mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara.

Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, Najib berkata, Pakej Rangsangan Kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur. Di samping itu, langkah-langkah yang dirangka bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi inisiatif membina kapasiti ekonomi jangka panjang.

Menurutnya, sebanyak RM674 juta diperuntukkan sebagai subsidi tambahan untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian. Untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, Najib berkata, kerajaan akan mewujudkan 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta. Ini meliputi 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan di pelbagai agensi kerajaan termasuk 13,000 jawatan pegawai kontrak.

 

Petikan dari Utusan, 11hb mac 2009. ( Diedit oleh admin )