|

»
Perubahan UMNO mesti
pantas

BATU PAHAT 4 Julai -
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mahu perubahan dalam parti itu dilakukan dengan
lebih pantas dan tidak boleh perlahan seperti
manusia yang berjalan 'lenggang lenggok yang longlai'.
Menurutnya, perubahan landskap politik kini menuntut
perubahan dijalankan dengan pantas supaya UMNO
dilihat masih relevan seiring perkembangan zaman.
''Walaupun transformasi
yang kerajaan lakukan bergerak pantas, ia tidak
seiring perubahan politik UMNO yang perlahan seperti
lenggang lenggok yang longlai.'Risiko hari ini
adalah kita tak boleh rasa selesa, biasa dan keadaan
sebegini tak boleh dibiarkan. Ini ancaman bagi
kedudukan kita,'' katanya ketika berucap merasmikan
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di
Dewan Jubli Intan di sini hari ini.
Perubahan yang terlalu
perlahan dikhuatiri menimbulkan persepsi seolah-olah
UMNO belum bangkit daripada 'tsunami' politik pada
pilihan raya umum lalu sehingga pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dilihat lebih lantang menyuarakan
perjuangan membela nasib orang Melayu. Beliau
menggesa usaha yang lebih agresif dijalankan dalam
menambah bilangan ahli, jumlah pendaftar pemilih dan
mencari jalan bagi mengatasi tanggapan silap
terhadap UMNO.
”Tambahnya, masalah
dalaman parti juga tidak boleh dibiarkan berlarutan
hanya kerana tidak bersetuju dengan sesuatu
keputusan yang telah dibuat, sebaliknya hubungan
dalam parti perlu diperkukuhkan. Johor menjadi
tumpuan parti lawan. Pembangkang sudah namakan siapa
yang akan bertanding dan di kawasan mana. Mereka
juga cuba membangkitkan kebencian terhadap kerajaan,"
katanya.
Perjuangan membela nasib
orang Melayu dan mendapatkan hak untuk kaum itu
seperti termaktub dalam Perlembagaan, tidak boleh
dianggap sebagai satu isu perkauman.
Petikan dari Utusan
Online. Diedit oleh admin. 05/07/2010
|