SEKAPUR SIRIH

Seri Mersing, Lagulah Melayu, Dikarang oleh Biduan dahulu, Hatiku runsing bertambah pilu, Mengenang nasib bangsaku Melayu.

 

 

 

» Muktamar PAS ke-56 ; PAS benarkan bukan melayu bertanding.

KOTA BHARU 11 Jun – Sah, bukan Islamakan dibenarkan bertanding atas tiket Pas menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas kemungkinan akan mengenakan syarat dengan bakal-bakal wakil rakyat itu sebagaimana ‘bai’ah’ agar tidak berlaku gejala melompat parti.Katanya, kebenaran calon bukan Islam daripada ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bertanding itu diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas sebuah badan tertinggi dalam parti.

Menurut beliau, mereka yang bakal dipilih berasas tapisan terperinci di mana mereka perlu menerima konsep perjuangan politik Pas dan juga mempunyai latar belakang baik serta bermoral tinggi.  “Ingin saya umumkan bahawa Majlis Syura parti telah memutuskan untuk membenarkan calon bukan Islam daripada DHPP dibenar untuk menggunakan logo parti dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiyyah Kelantan (Putik) di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti itu, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Mustafa Ali.

Ditanya adakah Pas tidak bimbang kebarangkalian calon bukan Islam itu yang memenangi kerusi bertindak melompat keluar parti, Abdul Hadi yakin penuh bahawa mana-mana pihak yang benar-benar bermoral tidak akan berbuat demikian. “Kita boleh juga buat kaedah baiah seperti yang dilakukan oleh calon-calon Pas dan dalam kes calon bukan Islam ini kita akan laksanakan ikrar. Saya percaya mereka yang bermoral tidak akan langgar ikrar ini.

“Mereka ini hanya akan bertanding di kawasan yang majoritinya bukan Melayu, jadi saya nafi tanggapan bahawa tindakan ini bakal menimbulkan masalah kepada calon Pas yang lebih layak tetapi dipinggirkan,” katanya.

“Memang ada perbezaan, calon bukan Islam Pas itu menerima dasar perjuangan kita. Dalam Islam ia bukan perkara baru malah semasa Nabi Muhammad berhijrah dahulu Baginda dibantu tunjuk jalan oleh bukan Islam sehingga sampai ke Madinah.”

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa ia bukannya strategi politik untuk menarik sokongan pengundi bukan Islam terhadap Pas tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk memperkenalkan keindahan Islam.

Petikan dari Utusan.12/06/2010. Diedit oleh admin. Gambar dari AgendaDaily.