|

»
Najib temui Obama.

WASHINGTON 12 April –
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan
mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack
Obama di Walter E. Washington Convention Center di sini, sebelum
mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di
tempat yang sama. Pertemuan kira-kira setengah jam itu yang
membuka lembaran baru dalam hubungan Kuala Lumpur-Washington
turut disertai oleh Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim; Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin
Jarjis dan tujuh lagi pegawai tinggi kerajaan.
Rais yang juga Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum ini memberitahu
wartawan Malaysia, pertemuan hari ini akan menyentuh pelbagai
perkara mengenai kepentingan bersama dan antarabangsa. Ini
termasuk soal perdagangan dan pelaburan, keselamatan
antarabangsa dan rantau Asia Tenggara serta peranan yang boleh
dimainkan oleh Malaysia dalam konteks dunia Islam. Najib juga
mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden AS, Joseph Biden di
kediaman rasminya di sini sebelum kembali semula ke Walter E.
Washington Convention Center.
Sebelum ke sidang
kemuncak dua hari itu, Perdana Menteri mengambil kesempatan
mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri New
Zealand, John Key yang turut menghadiri sidang kemuncak itu yang
disertai oleh 47 pemimpin dunia. Sidang kemuncak yang bertujuan
menangani isu-isu berkaitan senjata nuklear bermula selepas itu
dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Obama. Najib akan
mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS, Hilary
Clinton pada majlis makan malam.
Diedit oleh admin.
13/04/2010. |