|

»
PM : Orang muda perlu beri idea !
PUTRAJAYA 17 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Pemuda UMNO
menganjurkan pertemuan dengan golongan muda di seluruh negara
bagi mengetahui harapan mereka terhadap kerajaan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri
juga mahu satu makmal khas yang menyerupai makmal Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditubuhkan untuk mencapai
tujuan tersebut.
"Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa zaman kerajaan tahu
segala-galanya telah tamat, kita perlu kumpulkan idea mengenai
harapan dan permintaan orang muda.
"Pemuda UMNO akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mencapai
tujuan ini secara sistematik dan akan melaporkan hasilnya kepada
Perdana Menteri dalam masa tiga bulan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat dan
berdialog dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di
sini hari ini.
Khairy berkata, Najib turut menekankan kepentingan perpaduan di
kalangan Pemuda UMNO, UMNO pusat dan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Khairy berkata, Najib berpuas hati dengan
penyerahan memorandum bantahan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi
Australia di Kuala Lumpur.
"Saya menjelaskan bahawa memorandum ini bukan bertujuan
membantah kerajaan atau rakyat Australia tetapi membantah
tindakan 50 Ahli Parlimen negara itu yang menggesa Malaysia
menghentikan perbicaraan kes liwat pemimpin pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Tambahnya, kenyataan 50 Ahli Parlimen Australia itu berbeza
dengan kenyataan Senator John Kerry dari Amerika Syarikat yang
mahu perbicaraan adil ke atas Anwar.
"Kenyataan Kerry berbeza dengan Ahli Parlimen Australia kerana
semua rakyat Malaysia juga mahu perbicaraan yang adil," katanya
ketika ditanya sama ada Pemuda UMNO akan menyerahkan bantahan
kepada kerajaan Amerika Syarikat.
18/02/2010. Petikan dari Utusan. Diedit oleh admin. |