|
Puteri UMNO tumpu golongan muda
KUALA TERENGGANU 3 Jan. - Pergerakan Puteri UMNO akan memberi
tumpuan kepada usaha menarik sokongan golongan muda dalam
membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) memenangi
kerusi Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, pengundi muda dilihat
berupaya menjadi penentu kepada BN untuk mengekalkan kerusi
tersebut.
Menurut beliau, strategi kempen dari rumah ke rumah dan pelbagai
aktiviti bagi menarik golongan muda akan dilaksanakan sepanjang
tempoh berkempen itu.
''Ini termasuk aktiviti sukan atau program yang melibatkan
golongan muda kerana golongan tersebut lebih suka bersama-sama
dengan rakan-rakan sebaya,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
sumbangan beg sekolah kepada 200 pelajar miskin dan yang baru
memasuki alam persekolahan di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Puteri UMNO negeri, Nordiana Shafie.
Bagaimanapun kata Noraini, Puteri UMNO juga tidak mengetepikan
golongan kurang upaya dan akan menganjurkan program untuk mereka.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, Puteri UMNO seluruh negara akan
bekerjasama dengan UMNO Bahagian Kuala Terengganu dalam mengatur
strategi dan pendekatan bagi memastikan BN mengekalkan kerusi
Parlimen Kuala Terengganu.
Menurutnya, ahli-ahli Puteri UMNO dari seluruh negara termasuk
Sabah akan mula berkampung di Kuala Terengganu 5 Januari ini
sehingga tamat pengundian.
''Mereka bersemangat tinggi dan bersedia membantu melaksanakan
pelbagai program setiap hari,'' ujar beliau.
Petikan dari Utusan 04hb Januari 2009.
|